KUALA TERENGGANU 14 April - Mereka yang menolak hadis, pengikut Syiah dan fahaman Wahabi bukan golongan yang mengamalkan konsep wasatiyyah seperti yang dituntut agama Islam.
Mufti Terengganu, Dr. Zulkifly Muda menyifatkan golongan itu sudah tersasar daripada wasatiyyah kerana Nabi Muhammad SAW adalah orang yang paling mengetahui mengenai tafsiran dan cara amalan yang terkandung di dalam al-Quran.
Menurutnya, apabila hadis nabi ditolak maka tiada petunjuk selain akal yang menyebabkan manusia terkhilaf kerana tahap akal mereka yang berbeza-beza.
Dengan sebab itulah, tiada lagi wasatiyyah dan begitu juga dengan Syiah yang mendewa-dewakan manusia tertentu. Ia sudah lari daripada wasatiyyah kerana akan mengganggu tauhid kepada Allah.
Sebab itulah para ulama di Malaysia tidak dapat terima golongan yang berfikiran Wahabi kerana tiada wasatiyyah dalam aliran itu berdasarkan apa yang tertulis dalam sejarah bahkan pendekatan dakwah golongan itu boleh membawa perpecahan dan peperangan dalam kalangan ummah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas perkara itu sebagai susulan kepada Seminar Antarabangsa Penghayatan Wasatiyyah Dalam Kerangka Maqasid Syariah di Kuala Lumpur, Selasa lalu.
Sementara itu, Zulkifly berkata, wasatiyyah bermakna kesederhanaan dan merupakan perkara asas dalam agama yang perlu diamalkan oleh umat Islam.
Beliau menjelaskan, sekiranya umat Islam beramal dengan ajaran yang sebenar, maka mereka telah mengamalkan wasatiyyah.
Saya bimbang kalau ada orang faham wasatiyyah dengan dua kefahaman yang salah. Pertama, wasatiyyah dengan maksud ambil dunia separuh dan akhirat separuh.
Kedua, wasatiyyah yang bermaksud campur adukkan antara halal dengan haram, ini juga salah. Umpamanya seseorang yang sembahyang tapi dia juga minum arak. Begitu juga ada orang pergi masjid tapi kuat pergi disko, ini juga bukan wasatiyyah," ujarnya.
Beliau berkata, wasatiyyah yang sebenar adalah orang yang hidup hanya berpegang kepada hukum agama dalam apa juga bidang dan isu sekalipun.
Justeru katanya, Kerajaan Pusat sewajarnya dipuji berdasarkan hasratnya untuk mengamalkan konsep wasatiyyah sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena sambutan Maulidur Rasul sebelum ini.
Kenyataan Perdana Menteri kerajaan ingin menjadikan Malaysia sebuah negara maju berteraskan syariah Islam.
Ini kenyataan yang sangat penting kerana melambangkan ideologi dan tonggak pemerintahan di Malaysia," katanya.
0 comments:
Post a Comment