Powered by Mitsuoka Widget

Saturday, March 8, 2014

Bolehkah Jual Baucer Buku Untuk Dapat Tunai?


BOLEHKAH JUAL BAUCER BUKU UNTUK DAPAT TUNAI?

Ramai yang bertanya berkenaan menjual baucer buku 1Malaysia dengan sama ada harga yang sama atau harga diskaun. 

Pendapat ringkas saya seperti berikut : 

a. Perbuatan menjual baucer buku untuk mendapat tunai itu adalah tindakan yang salah, tidak beretika dan memecah amanah dan objektif asal pemberian baucer. Matlamat penciptaan baucer itu adalah untuk ditukar dengan buku, agar pelajar dapat membeli buku keperluan mereka dan meningkatkan ilmu. BUKAN HANYA buku teks wajib di universiti tetapi segala jenis buku yang berfaedah yang lain juga. 

b. Berdasarkan penerangan kementerian, fungsi baucer ini adalah “Baucer ini adalah untuk pembelian buku - buku akademik, jurnal, majalah ilmiah dan peralatan pembelajaran berdasarkan keperluan IPT masing-masing”. Justeru itu, baucer buku itu memegang 'hak untuk memiliki buku, majalah dan alat tulis pada nilai harga yang tercatat di atas baucer’ . Kerana itu, baucer itu sepatutnya TIDAK SAH dan TIDAK LAKU untuk pembelian selain daripada item yang disebutkan. Ia tidak boleh digunakan untuk membeli makanan, minuman, kerusi, atau lain-lain barang secara bebas, ia hanya terhad kepada item yang disebutkan. Justeru kerana itu, saya berpandangan baucer itu mengambil sifat barangan yang disebutkan dalam kebenaran sahaja khususnya buku dan ia bukan 'wang kertas' atau 'matawang' yang boleh digunakan untuk membeli pelbagai perkara secara bebas. Ia berbeza dengan baucer tunai (Aeon Gift Voucher) yang dikeluarkan oleh syarikat Aeon Bhd yang boleh berfungsi sangat hampir seperti matawang yang boleh membeli pelbagai item tanpa halangan, Cuma syaratnya di pasaraya Aeon sahaja. Oleh kerana itu, menjual baucer buku dengan harga yang sama seperti nilai tercatat pada baucer atau secara diskaun adalah seperti menjual buku yang bernilai pasaran RM 50 dengan nilai diskaun RM 45. Maka jika demikian, bagi saya ia bukan riba dan tiada masalah dari sudut kontraknya. Jika ada yang berpendapat bahawa baucer itu seperti wang tunai, maka menjualnya dengan harga lebih rendah adalah riba.

Saya dimaklumkan terdapat pekedai biasa yang menerima baucer itu untuk membeli barangan selain item yang dibenarkan kerajaan. Jika ia ada, saya kira ia masih dalam kes terpencil yang tidak boleh dijadikan hukum am yang mengubah sifat baucer kepada matawang, sebagaimana kaedah Fiqh menyebut: 
(العبرة للغالب الشائع لا للقليل النادر) 
Ertinya: Pengajaran yang diambil kira adalah yang ghalib (majoriti) dan bukan yang terpencil sedikit. ( Qawaid Fiqhiyyah li zarqa’)

Kesimpulan, tidak dibenarkan menjual baucer buku kerana itu perbuatan tidak beretika dan pecah amanah. Namun jika dijual juga, ia tidaklah sampai tergolong dalam kategori riba. Malah dicatatkan oleh kementrian juga kluasa 6f yang menyebut ‘Baucar buku yang diterima tidak boleh ditukarkan dalam bentuk wang tunai. ( rujuk http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/1malaysia/12097-baucar-buku-1malaysia-bb1m.html) Wallahu’alam.

0 comments:

Post a Comment